pn-iena

Antara cara perlu dilakukan ibu bapa dalam mendidik remaja ialah:

~Mendalami ilmu agama dengan pelbagai cara sama ada diajar oleh orang tua sendiri ataupun orang lain seperti guru agama supaya mereka sentiasa cenderung melakukan ibadat. Ini kerana ibadat yang diajarkan Islam mengandungi daya dan wasilah untuk mengasuh serta mendidik lahir batin manusia menjadi manusia yang sebenarnya.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang-orang yang beriman dan diikuti oleh anak cucu mereka dengan cara beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam syurga) dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun daripada pahala amalan mereka. Tiap-tiap seorang bergantung pada amalan yang ia telah kerjakan.” (Surah al-Thur, ayat 21)

~Ibu bapa mesti mendidik remaja dengan cara lemah lembut dan pandai mengambil hati anak dalam memberi tunjuk ajar atau teguran supaya jiwa mereka tidak mudah tersentuh.

Ini kerana pada peringkat jiwa mereka mudah tersentuh dan memberontak jika terdapat sesuatu perkara yang bertentangan dengan jiwa mereka. Anak tidak boleh dimarahi atau ditengking dengan cara negatif. Kebebasan wajar diberikan kepada anak remaja dalam melakukan sesuatu perkara selagi ia tidak bertentangan ajaran Islam.

~Ibu bapa hendaklah mengawasi pergaulan anak kerana pergaulan banyak mempengaruhi sifat anak terutama ketika mereka meniti usia remaja.

Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan bukan muhrim perlu dihalang bagi mengelak berlaku perkara tidak diingini. Pengawasan dan kawalan ibu bapa patut diperketatkan supaya anak remaja melalui kehidupan mengikut batas ditetapkan.

Remaja adalah golongan paling mudah digoda syaitan. Umpamanya dalam pergaulan membabitkan percampuran lelaki dan perempuan, syaitan akan menyelinap dan menggoda supaya melakukan perbuatan sumbang seperti bercumbu-cumbuan, asyik dalam percintaan, khalwat, rogol dan zina.

~Ibu bapa hendaklah menanamkan sifat cintakan Allah kepada anak remaja. Melalui nasihat ini juga diharapkan remaja dapat melakukan sesuatu yang baik yang dikehendaki Allah, menjauhkan diri daripada semua perbuatan keji kerana tahu dan yakin Allah sentiasa melihat perbuatannya.

~Ibu bapa harus menunjukkan kasih sayang kepada mereka dan bersikap diplomasi mengendalikan sebarang masalah. Pendapat dan pandangan anak di peringkat ini perlu dihormati dan dipertimbangkan.

~Usahakan supaya mereka mempunyai kegiatan berfaedah seperti mengikuti kursus ilmu pengetahuan, membabitkan diri dalam olahraga dan jangan izinkan mereka keluar malam tanpa sebarang sebab.

(sumber:*bharian.com)

0 Responses