pn-iena
BAGI mereka yang cintakan kedamaian serta keindahan alam semula jadi, jauh daripada hiruk pikuk kota, Swiss Garden Resort Damai Laut (SGRDL) di Lumut, Perak adalah antara lokasi percutian yang menjanjikan kepuasan itu.



Pusat pelancongan bertaraf empat bintang, anak syarikat Swisss Garden International Hotel & Resort itu, hanya dipisahkan dari bandar Lumut oleh Sungai Dinding dan terletak berhadapan pulau peranginan terkenal, Pulau Pangkor.
Resort itu menyediakan beberapa kemudahan seperti gimnasium, pusat penjagaan kanak-kanak, apartmen percutian, kolam renang, padang golf dan bot.
Paling menjadi tumpuan pengunjung ialah bot yang disediakan untuk menjelajah dan meninjau kegiatan serta kehidupan nelayan sepanjang Sungai Sempit yang terletak tidak jauh dari resort.
Dengan menaiki bot, pengunjung boleh melihat sendiri kehidupan nelayan di perkampungan mereka sepanjang memudik sungai serta menghayati keindahan fauna dan flora serta pelbagai spesies haiwan di hutan bakau sepanjang sungai.
Menerusi bot khas yang disediakan, pengunjung juga boleh melihat keindahan Jambatan Tuanku Bainun sepanjang 1.3 kilometer merentasi Sungai Dinding.
Kolam renang pula dibina kira-kira 30 meter dari aras laut. Sambil berenang di kolam, pada masa yang sama pengunjung turut menikmati pemandangan laut yang terbentang luas.
Kemudahan bilik seminar yang dilengkapi sistem bunyi, skrin besar, ‘flipchart’, serta slaid turut disediakan bagi memudah dan melancarkan perjalanan sesuatu majlis.

Pengunjung boleh memilih jenis penginapan daripada 298 bilik yang disediakan seperti eksekutif (11), deluxe (256), junior suite (10), bilik keluarga (20) dan presidential suite (satu).

Semua bilik dilengkapi dengan penghawa dingin, televisyen, telefon, bar mini dengan bayaran berpatutan.

Bagi mereka yang inginkan kegiatan lasak dan mencabar, trek untuk berjoging dan kegiatan menjelajah hutan di sekitar resort juga disediakan

Pengurus Besar DLGCC, Radzman Tajudin, berkata bagi peminat golf, SGRDL turut menyediakan padang golf yang dinamakan Damai Laut Golf & Country Club (DLGCC) menjanjikan kepuasan kepada setiap pemain walaupun mungkin menghayun di kala mentari terik di atas kepala.

Cuacanya yang berangin dari laut berhampiran dengan pemandangan yang indah bagi pemain golf pastinya menjadi memori yang sukar dilupakan.

Kelab itu disifatkan medan pertarungan golf terunggul di rantau ini serta pusat percutian menarik sejak ia mula beroperasi pada 1998.

DLGCC memiliki 18 lubang direka oleh Ronald Fream dari Amerika Syarikat (AS) turut menawarkan keindahan semula jadi serta pemandangan laut yang menakjubkan.

Katanya, reka bentuk serta kedudukan setiap lubang yang berasaskan pemandangan indah dan kedudukannya berhampiran laut pasti mampu menyuntik semangat pemain bermain dengan lebih baik.

Beliau berkata, tidak keterlaluan jika dikatakan kelab itu sesuai bagi semua kategori pemain sama ada baru atau lama kerana reka bentuknya sesuai untuk semua.Katanya, lubang ketiga yang memiliki jarak 150 meter mungkin dianggap mudah bagi pemain yang pertama kali beraksi di kelab itu.

Namun, jangan mudah percaya pada mata. Hakikatnya, lapangan ini terselit cabaran yang boleh mengecewakan anda jika menganggap jarak itu adalah sesuatu yang mudah.

Lapangan ini dihiasi pokok di sebelah kiri, manakala tasik di sebelah kanan serta kawasan paya di depan.Keadaan itu memaksa seseorang pemain untuk mendapatkan sudut terbaik untuk membuat pukulan supaya tidak dikecundangkan dengan keadaan yang mengelirukan itu.

Oleh itu, seseorang pemain perlu membuat jangkaan yang tepat serta pukulan terbaik bagi mengelakkan daripada terperangkap dengan `jerat' yang berada di lapangan itu.

Lubang empat yang memiliki jarak 350 meter pula adalah medan terbaik bagi seseorang pemain golf untuk menguji pengalaman dan bakat yang dimiliki.
Keadaannya yang berbentuk `dog leg' menghala ke kanan memberi beberapa ruang kepada pemain mencari jalan penyelesaian untuk mengurangkan pukulan.

Nyata sekali, SGRDL menjanjikan seribu kenangan kepada pengunjung, yang pasti, mereka yang pernah berkunjung ke sini, akan datang semula kerana di SGRDL benar-benar menjanjikan kepuasan.


Bagaimana ke sana?
Untuk bercuti di resort itu, pengunjung perlu memandu melalui Lebuh Raya Utara-Selatan dan mereka boleh menyusur keluar ke Jelapang (utara Ipoh) dan melalui pekan Pantai Remis sebelum tiba ke pusat peranginan terbabit.Jika anda memandu hingga ke Lumut, anda memerlukan kira-kira 25 minit untuk sampai ke SGRDL.

FAKTA:
Swiss Garden Resort Damai Laut

Kos pembinaan keseluruhan resort seluas 425 hektar itu membabitkan perbelanjaan kira-kira RM200 juta.
Mula beroperasi pada 18 Disember 1997

Pelancong terdiri daripada pelancong tempatan serta luar negara seperti Jepun, Taiwan,Singapura dan Eropah.

Damai Laut Golf & Country Club pernah memenangi tiga anugerah iaitu 'The Best Resort Course', '2nd Most Scenic Hole', 'Hole 15' dan '3rd Most Scenic Golf Course' di Malaysia bagi 2005/2006 oleh majalah Golf Malaysia.

300 bilik disediakan seperti Deluxe Garden, Deluxe Sea View, Executive, Junior, Family dan Presiden Suite.

Ada juga kategori bilik yang diubahsuai iaitu Damai Apartment Suite untuk yang berkeluarga, Honeymoon Suite dan Spa Suite bagi mereka yang inginkan kelainan.

~sumber: bharian.com.my~



~kenangan ketika bercuti di Damai Laut~

0 Responses