pn-iena

DALAM proses memahami dan memupuk hubungan dengan anak, harus disedari kehendak anak yang sedang membesar. Apatah lagi dalam dunia yang serba mencabar kini, meskipun ia satu tanggungjawab, mendidik anak dianggap suatu cabaran kepada ibu bapa.

Impian menjadikan anak sebagai individu berguna menjadi iltizam setiap insan. Namun, dalam proses menuju matlamat itu, banyak cabaran yang perlu ditempuh.

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara memberi petua bagaimana memupuk hubungan mesra dengan anak.

- Rasa selamat

Menyayangi anak sepenuh hati akan memberi perasaan selamat pada anak dan membina emosi anak yang kental.

Walaupun perlu mendisiplinkan anak, beri jaminan tindakan anda itu kerana perasaan sayang. Nakal hanya pada perbuatan dan itu yang harus diberikan disiplin, bukannya memarahi anak itu.

Jika anak menunjukkan sikap tidak menghormati anda sebagai ibu dan bapa, tegur si kecil dan beri penjelasan. Disiplin boleh diberi melalui nada suara yang tegas, menyekat permainan kesukaannya atau pukulan ringan, jika perlu.Anak harus sedar perbuatannya salah tetapi pada masa sama, si kecil tahu ibu dan bapanya berbuat demikian kerana sayang.

- Rasa dihargai

Sentiasa menghormati pandangan dan pendapat anak yang sedang membesar. Mereka bukannya patung atau barang hiasan.Anak mempunyai perasaan dan keinginan untuk diterima serta dihargai sebagai individu. Oleh itu, babitkan dirinya dalam perbualan seharian keluarga seawal usia satu tahun.

Jika anak mahukan perhatian ketika anda sedang berbual dengan tetamu, jangan memarahinya. Dakap anak dan katakan anda mempunyai tetamu dan akan menemaninya sebentar lagi. Beri jaminan dan bermain dengan anak seperti yang dijanjikan. Ini menunjukkan anda menghargainya sebagai individu.

- Rasa penting

Kadang kala ibu bapa ingin memberi sepenuh kasih sayang menyebabkan anak dikongkong daripada membuat sebarang keputusan sendiri.

Beri mereka peluang untuk memegang tanggungjawab. Latih anak yang sedang membesar melakukan beberapa tugas kecil dalam keluarga mereka berasa dirinya penting. Sebagai permulaan, minta anak membasuh cawannya sendiri.

Anak nakal berpunca daripada keperluannya yang tidak dipenuhi. Sayangi anak sepenuh hati dan menerima anak seadanya. Pada masa sama, si kecil mahukan jaminan ibu bapanya akan sentiasa memberikan rasa selamat, menghargai dan menerimanya sebagai sebahagian ahli keluarga. Ini akan memastikan emosi anak tumbuh sihat.

-Jadikan waktu membesar menceriakan

Keluarga bahagia keluarga yang ceria. Rumah tempat untuk memupuk keceriaan, suasana riang dan membina kenangan manis.

Rumah yang ceria juga mewujudkan suasana harmoni yang boleh dinikmati seisi keluarga. Jadikan aktiviti anda dan anak sesuatu yang ceria dan bukannya membebankan. Keseronokan bermain dengan anak mampu mengembalikan kenangan zaman kecil anda.

Anak harus melihat anda bukan sekadar orang dewasa yang bijak, pembuat keputusan, pencari rezeki dan pembuat peraturan tetapi sebagai kawan yang ceria. Kenangan ini akan kekal sebagai kenangan masa kecil yang menceriakan. Namun, anak harus dididik untuk ceria seseorang tidak perlu mencederakan atau mengecilkan orang lain.

- Hadiahkan mereka nilai murni

Menjadi lumrah kanak-kanak yang meminta sebarang benda yang mereka lihat di televisyen atau milik kawannya. Malangnya, ibu bapa menurut saja kemahuan anak mereka tanpa menyedari memberi hadiah hanya akan menggembirakan anak untuk sehari tetapi pendidikan nilai murni akan memanfaatkan anak seumur hidup.

Latih anak menghargai setiap pemberian daripada rakan dan sanak-saudara. Ini akan menyemai nilai bertimbang rasa, kesyukuran, persahabatan dan hormat-menghormati pada jiwa anak.

Si kecil harus belajar mengucapkan terima kasih. Pastikan juga anak menjaga setiap pemberian berkenaan dengan baik. Misalnya, jika si kecil menerima buku, dia mesti belajar menjaga buku itu dengan baik walaupun tidak menyukainya.

Anda harus mengehadkan pemberian hadiah sehingga anak benar-benar tahu menghargai dan menjaga setiap hadiah yang diterima. Jika tidak, anak akan mengambil kesempatan atas kemurahan hati anda.

*Sumber:hmetro.com.my

0 Responses